Hadits Nabi saw tentang kondisi manusia; "Kedua kaki seorang hamba tidak akan bergeser pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya, tentang masa mudanya, digunakan untuk apa, tentang hartanya, dari mana diperoleh dan kemana dihabiskan, dan tentang ilmunya, apa yang dilakukan dengan ilmunya itu." (HR. Tirmidzi).

Senin, 20 Agustus 2012

Mind Control dalam Dunia Politik

UNTUK menjadi seorang ahli politik, seseorang individu itu harus mempunyai pakej lengkap dari segi ketrampilan, disiplin moral, gaya dan daya kepimpinan selain boleh dipercayai serta jujur. Itu adalah penilaian umum yang biasa diberikan kepada seseorang tokoh yang mencebur diri dalam arena politik. Namun terdapat satu sisi yang wajar diberi perhatian iaitu, seseorang yang terlibat dalam politik demokrasi perlu mempunyai kemahiran mempengaruhi orang lain kerana ia adalah salah satu daripada faktor penting yang membezakan antara pemimpin dengan pengikut. Ia adalah kemahiran yang sangat diperlukan dan ia adalah satu ‘faktor’.  

Setiap yang diucapkan oleh individu politik harus memberikan keputusan positif iaitu ‘dipercayai’ ‘diyakini’ dan jawapan-jawapan negatif yang selain itu tidak akan menjamin kejayaan seseorang ahli politik dalam melebarkan cita-citanya dalam kancah politik demokrasi sesebuah negara, organisasi atau dunia. Pengikut kepada parti-parti politik pula hanya akan berkata bahawa tokoh politik pujaan mereka itu hebat, berwawasan dan sebagainya. Pujian-pujian itu pula hanya diberikan berlandaskan ucapan-ucapan yang pernah keluar daripada tokoh itu dan tidak melihat secara keseluruhan terhadap prestasi perlaksanaan kepada ucapan-ucapannya itu. Namun, pengikut parti politik tidak pernah memikirkan mengapa mereka berfikiran sedemikian walaupun tidak berpijak kepada keseluruhan fakta. Para pengikut hanya mengangguk dan menerima setiap apa yang diucapkan tanpa berfikir mengenainya. 

Mengapa keadaan itu berlaku? Ramai yang tidak menyedari bahawa wujud istilah Mind Control dalam politik. Tanpa Mind Control, sesebuah parti atau individu politik tidak akan mampu bertahan menangkis pelbagai isu yang melanda mereka. Mereka dapat bertahan meskipun dibadai pelbagai isu kerana mereka telah mengikat minda para pengikut supaya menjadi taat serta taksub sehingga mengenepikan segala pertimbangan yang wajar. Melalui Mind Control, mereka menjadikan pengikut mereka taat dan tidak berganjak daripada terus memberi sokongan walaupun parti dan individu-individu (ahli politik) mereka dilanda pelbagai isu yang boleh menggugat kepercayaan orang ramai terhadap mereka. Hanya dengan menggunakan teknik-teknik mempengaruhi orang lain untuk menyemai persepsi orang ramai, seseorang individu politik itu dengan mudah akan dapat mengerahkan para pengikutnya menerima idea dan nilai-nilai yang ingin disampaikan dan diterapkannya. Ia termasuk sampai ke tahap mempergunakan para pengikut yang sudah sedia taksub untuk mencapai cita-cita politik mereka. 

Dalam memastikan semua itu berjalan lancar, seseorang individu politik itu harus mengetahui tatacara ‘pemasaran diri’ untuk meraih kepercayaan umum terhadapnya, ia adalah langkah pertama sebelum teknik-teknik psikologi digunakan secara optimum dalam mood yang halus. Ketika dalam fasa pengalihan psikologi, segala daya kognitif dan pemikiran kritis akan dikikis keluar daripada tingkat kewarasan seseorang pengikut. Ia dilakukan bagi mengubah persepsi seseorang pengikut sehingga tiada lagi pertikaian walaupun sebesar kuman terhadap ketua mereka, sehingga semua yang dilakukan disifatkan sebagai betul tanpa sebarang kelemahan. Apabila ia berlaku, seseorang pengikut tidak akan mampu berfikir secara bebas dan hanya mampu berfikir mengikut rentak yang disediakan oleh pemimpin politik mereka sahaja. Ringkasnya, pengikut akan berfikir mengikut acuan yang telah disediakan dalam ruang lingkup terhitung melalui idealisme retorik-retorik yang memukau ketakjuban dan ketaksuban.

 Pengikut juga akan gagal membezakan antara kepalsuan dan kebenaran selepas pemikiran diselubung dengan debu-debu yang menyelimuti kewarasan berlandaskan realiti. Pada tahap ini, realiti tidak akan dapat dilihat dengan jiwa yang bersih dan kebijaksanaan para pengikut akan mula terhakis perlahan-lahan dan akhirnya hilang. Dalam fasa itu, minda pengikut berada sepenuhnya dalam kawalan sang ahli politik. Pengikut akan mengangguk apabila keadaan memerlukan mereka mengangguk dan akan melakukan segala tindakan yang mempertahankan individu politik berkenaan. Apabila keadaan ini berlaku, pengikut juga tidak ubah menjadi seperti orang buta yang tidak dapat melihat walaupun celik. Proses pembuatan keputusan yang sepatutnya dibuat secara bebas oleh pengikut akan dikawal sepenuhnya oleh sang ahli politik, pengikut tidak akan mampu membuat keputusan sendiri melainkan bergantung sepenuhnya kepada sang ahli politik dalam apa sahaja keputusan meskipun keputusan itu boleh melingkupkan banyak perkara dalam nilai masyarakat. Pengikut yang tunduk kepada demokrasi akan ditelan hidup-hidup oleh demokrasi itu sendiri kerana tidak memahami demokrasi yang sebenarnya. Bilamana minda pengikut sudah berada dalam kawalan yang maksimum oleh sang ahli politik, maka semua arahan daripada individu politik itu akan dipatuhi sepenuhnya. Ibarat robot yang akan bergerak melakukan segala arahan setiap kali butang alat kawalan dipetik. Lebih parah, ibarat mayat hidup yang sudah hilang jiwanya. 

Parah apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang. -- Coercive Mind Reset Dalam modul Mind Control yang diamalkan oleh para penggerak politik New World Order (NWO) yang berpaksikan Zionis, minda manusia boleh dikawal melalui kaedah pemaksaan minda. Melalui kaedah ini, minda akan dipaksa menerima segala idealisme yang cuba disogok oleh seseorang. Kaedah ini bagaimanapun akan gagal sekiranya individu yang cuba disogok itu pantas berfikir untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul semasa idealisme itu cuba diserapkan ke dalam pemikirannya. Sebagai contoh apabila minda cuba disogok dengan komunisme, seseorang akan dapat menerima idea itu sekiranya dia terus mengangguk terhadap setiap idea yang menguntungkan dan mengabaikan semua kesan buruk akibat komunisme yang bakal diterimanya. Seseorang akan menerima idea tersebut sekiranya hanya mementingkan keuntungan dunia melalui konsep memiliknegarakan harta yang memberi gambaran seolah-olah semua rakyat akan mendapat taraf ekonomi sama rata. 

Dalam hal ini, minda dipaksa menerima idea tersebut dalam mood yang lembut iaitu idea-idea yang hanya menerangkan kebaikan dan bukan kelemahan. Namun, apabila seseorang itu melihat kepada keseluruhan ideologi komunisme maka dia pasti akan melakukan pertikaian terhadap beberapa persoalan yang tidak dapat dijawab oleh komunisme itu sendiri. Apabila berlaku pertikaian, maka usaha pemaksaan minda akan terganggu dan boleh terhenti. Namun, komunisme itu hanya dijadikan sebagai contoh dari aspek yang boleh membuatkan seseorang itu mengangguk terhadap komunisme dan menolak ideologi itu secara tegas. Ia hanya dari segi ‘menerima’ dan ‘mempertikai’. Menerima tanpa berfikir secara keseluruhan, akan menyebabkan minda dikawal melalui pemaksaan. Jadi, apakah yang boleh menjelaskan kaedah pemaksaan minda itu dan bagaimana ia dilaksanakan? Pemaksaan minda adalah teknik memanipulasi daya kognitif seseorang. 

Melemahkan kognitif melalui satu sisi dan memperkuat persepsi pada sisi yang lain. Ia berlaku apabila persepsi menjadi lebih kuat berbanding kognitif. Ia berlaku apabila tiada keseimbangan antara kognitif dengan persepsi, dan ia tercetus dan berjaya dilaksanakan apabila persepsi menguasai keseluruhan tingkat pemikiran dan akal. Akal manusia dikuasai oleh persepsi dan bukan lagi kognitif. Hampir menyamai hipnosis, tetapi ia bukan hipnosis. Apabila minda berjaya dimonopoli oleh persepsi, maka keseluruhan keputusan yang dibuat oleh seseorang akan berlandaskan persepsinya terhadap sang ahli politik yang berjaya mempengaruhinya. Daya kognitif sudah berada pada tahap lemah (bukan sepenuhnya pupus) dan tidak lagi mampu untuk melakukan penilaian yang berlandaskan realiti terhadap sang ahli politik itu. Apatah lagi untuk mempertikai apabila daya kognitif menjadi begitu asing dalam tingkat kewarasan. Dalam persekitaran politik demokrasi, keupayaan mempengaruhi orang ramai adalah lesen besar kepada kekuasaan. 

Tanpa lesen ini, sesebuah organisasi politik atau individu politik itu tidak akan mampu berdiri kuat dalam demokrasi. Maka, propaganda harus dilakukan dan digerakkan bagi memastikan ia mampu mempengaruhi keyakinan dan kepercayaan orang ramai. Dalam proses propaganda inilah persepsi itu akan disemai. Adalah penting untuk mencari titik kelemahan dalam usaha menyemai persepsi. Kelemahan itu boleh sahaja berkisar mengenai masalah yang dihadapi oleh orang ramai yang berpotensi menjadi pengikut. “Get into their boat and let them do the row… You only have to say: Row-row-row your boat, and they will definitely row as you said.” – KAEDAH PERTAMA. Cara mempengaruhi orang lain adalah perkara yang sangat mudah. Seseorang pemain politik hanya perlu memahami masalah orang lain (bakal pengikut) dan masuk di sebelah orang itu untuk bermain dengan perasaan dan persepsi mereka. Andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik. Jika bakal pengikut itu mengalami masalah kewangan, maka jatuhkan hukuman bagi masalah itu terhadap pihak politik lawan. Hanya perlu memberitahu bahawa masalah kewangan yang dihadapinya itu adalah berpunca daripada pihak lawan anda. 

Maka, persepsi akan wujud dalam minda bakal pengikut itu bahawa masalah itu adalah berpunca daripada pihak lain, bukan disebabkan masalahnya sendiri yang tidak bijak menguruskan kewangan dan jika dia berfikir mengenai kesilapannya menguruskan hartanya sendiri, maka dia akan berfikir secara waras dan hanya akan meminta nasihat daripada ahli politik itu dalam konteks pengurusan kewangan sahaja. Untuk mengelak pengikut itu berfikir mengenai perkara itu, sang ahli politik akan berterusan mempengaruhi persepsi bahawa bakal pengikut anda terpaksa berhutang dengan bank kerana kadar faedah yang ditetapkan bank adalah berpunca daripada pihak lawan anda. Dalam keadaan ini, Blame Game digunakan secara serius terhadap pihak lawan bagi kepentingan politik yang akhirnya akan mewujudkan persepsi di minda bakal pengikut anda seperti yang anda harapkan. Dalam permainan ini, jika anda adalah ahli politik, maka anda hanya perlu masuk ke dalam masalah (boat) mereka dan menjadi sebahagian daripada mereka yang mengalami masalah yang sama. Setelah menguasai persepsi dan kemarahan mereka terhadap sesuatu pihak (iaitu musuh politik anda), maka merekalah yang akan mendayung (row) bot itu untuk anda sampai ke seberang (matlamat) anda. 

Dalam perkara ini, boat itu adalah isu. Row pula adalah kesan tingkah laku yang akan dilakukan oleh pengikut itu yang akan menjayakan cita-cita politik seseorang sang ahli politik. Seseorang pemain politik hanya akan duduk berehat di dalam bot tersebut dan pengikut itulah yang akan membawa pemain politik itu ke arah matlamatnya. Dalam hal ini, persepsi pengikut adalah faktor yang menjamin kejayaan Mind Control si pemain politik itu tadi. “Make them confuse with questions, then provide the answers.” – KAEDAH KEDUA. Persepsi tidak akan wujud selagi minda tidak dikelirukan. Bakal pengikut perlu melalui fasa keliru, ia wajib dilakukan sehingga mereka benar-benar keliru dan tersepit di celah-celah persoalan. Sekali lagi, andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik. Kekeliruan itu haruslah berpihak kepada bakal pengikut anda. Biar bakal pengikut anda keliru dengan masalahnya sendiri. Biar bakal pengikut anda terbelit dengan masalahnya sendiri. Biarkan dia berfikir bahawa yang membelit tubuhnya itu bukan disebabkan faktor-faktor lain, biarkan dia berfikir bersulam persepsi yang keliru bahawa masalah yang dihadapinya itu adalah disebabkan oleh pihak lain iaitu musuh politik anda. 

Langkah selanjutnya, anda perlu tutup segala peluang untuknya berfikir mengenai cara terbaik yang boleh membawa dia keluar daripada masalah itu. Jangan buka peluang untuk bakal pengikut anda berfikir mengenai jawapan lain yang boleh membawa dia keluar daripada keadaan itu. Sebaliknya, anda hanya perlu memaksa bakal pengikut anda menerima penyelesaian dan jawapan yang telah anda sediakan. Lontarkan idea anda kepadanya yang memihak kepada ideologi politik anda. Secara persepsi, bakal pengikut anda akan terus menjadi pengikut anda secara rasmi apabila dia berfikiran bahawa hanya dengan berjuang bersama anda sahaja barulah masalah yang dihadapinya itu akan selesai. “Keep them drowning, they will know that they need air with your help.” – KAEDAH KETIGA. Walaupun begitu, masalah yang dihadapi oleh pengikut itu tidak boleh lagi diselesaikan secara drastik selagi matlamat anda belum tercapai. Pengikut harus dibiarkan terkapai-kapai dalam masalahnya sendiri tanpa perlu menghulurkan pertolongan kepadanya. Ini kerana, pengikut anda akan terus bersama anda selagi dia tidak mendapat pertolongan seperti anda dijanjikan. Pengikut anda akan terus kekal bersama anda setelah persepsinya meyakini kata-kata anda. Dalam peringkat ini, pengikut akan melalui tahap ‘mind slave’ yang serius dan tidak perlu bimbang kerana ia menguntungkan anda. Pengikut anda yakin bahawa anda sahaja yang boleh membantunya keluar daripada masalahnya itu. Itu kelebihan yang anda ada.

 Dalam peringkat ini juga, pengikut itu akan melakukan apa sahaja perintah yang anda keluarkan. Pada masa itu juga, anda menguasai pemikiran mereka dalam tahap yang hampir berjaya walhal anda sendiri tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah pengikut-pengikut anda dan juga masalah-masalah anda sendiri. -- Untuk tidak mahu menjadi mangsa atau hamba kepada demokrasi, persepsi haruslah diseimbangkan dengan daya kognitif. Seseorang yang hidup dalam persekitaran demokrasi wajar bijak dalam memahami apakah itu demokrasi. Demokrasi bukan semata-mata mengadakan pilihanraya untuk memilih kerajaan dari kalangan rakyat. Ia juga berkaitan kebebasan kita untuk berfikir, mempertikai setiap perkara tidak masuk akal yang cuba mempengaruhi kita supaya tidak mudah dipengaruhi. Bebas berfikir dan bersuara juga adalah demokrasi. Maka jika ada pemain politik yang mahu mempengaruhi anda, gunakan kebebasan demokrasi itu untuk mempertikai sebarang idea jika terdapat kesangsian. Andai ada keterangan jawapan yang ‘bersambung-sambung’ terhadap persoalan-persoalan maka ia boleh difikirkan untuk diterima sebagai jawapan.

 Sebaliknya, jika keterangan sebagai jawapan terhadap sesuatu persoalan itu kerap ada ‘terputus-putus’ maka, ia juga wajar difikirkan sama ada kita mahu menerimanya sebagai jawapan atau memutuskan ia sebagai penipuan dan pembohongan. Minda (bolehlah dipermudahkan sebagai akal dalam konteks ini) hanya akan dikawal sekiranya ia tidak digunakan untuk berfikir kerana fitrahnya juga adalah untuk membantu kita berfikir. Andai minda tidak digunakan untuk berfikir, maka ia akan mudah dikawal. Itu adalah syarat untuk terselamat dalam permainan ini. Hitung kembali dan buat ‘mind check-up’… adakah minda anda sedang berada dalam kawalan mana-mana pihak yang berkepentingan politik?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Entri yang Diunggulkan

MENJUAL AGAMA PADA PENGUASA DISIFATI ANJING DALAM AL QURAN

Pemimpin/Ulama adalah cermin dari umat atau rakyat yang dipimpinnya. Definisi Ulama (wikipedia) adalah pemuka agama atau pemimpin agama ...

Popular Post